Putrajaya sering dikaitan dengan pusat pentadbiran dan bangunan-bangunan kerajaan. Namun, banyak tarikan best dan tempat chill menarik di Putrajaya yang wajib dilawati.
Memandangkan Putrajaya dapat diakses melalui pengangkutan awam iaitu MRT Laluan Putrajaya – Kwasa Damansara, kini korang boleh menerokai banyak tarikan serta destinasi baharu bersama rakan dan famili di Putrajaya.
Ini antara port jalan-jalan dan tempat chill menarik di Putrajaya yang korang boleh pergi :
10 Tempat Menarik Di Putrajaya, Port Jalan-Jalan Chill & Best
1. Anjung Floria

Tapak acara bagi Royal Floria yang sering diadakan setiap tahun di Presint 4, Putrajaya. Namun, setelah tamatnya acara ini, Anjung Floria berfungsi sebagai lokasi riadah yang estetik dengan pelbagai tarikan.
Di sini, korang akan menjumpai mural-mural yang besar serta menarik di deretan jalan masuk. Selain itu, terdapat bunga-bungaan yang ditanam yang menghidupkan tempat ini dengan warna yang menarik.

Terdapat kafe seperti Lake Cabin dan Cyclist Cafe, dek pemerhatian dengan pemandangan tasik, taman kanak-kanak, padang yang luas, pantai buatan, kawasan bersenam, dan trek berjoging.
Kawasan ini juga luas dan menempatkan arca-arca menarik dan berwarna-warni. Selain itu, terdapat China-Malaysia Friendship Garden yang indah serta cantik untuk bergambar. Korang juga boleh berjalan kaki dari sini untuk ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau masjid besi.
Lokasi : Anjung Floria, Presint 4
Waktu Operasi : Setiap Hari I 7.00 pagi – 7.00 petang
2. Putrajaya Steps

Tarikan baharu Putrajaya yang kini menjadi lokasi ikonik dengan tangga berwarna-warni yang cantik.
Lokasi Putrajaya Steps adalah di Presint 1, berdekatan dengan Masjid Putra atau masjid pink dan juga Dataran Putra, iaitu lokasi riadah popular dalam kalangan penduduk di sini.

Tangga ini dibina bersempena 25 tahun Sambutan Jubli Perak Putrajaya dan mengambil inspirasi dari tangga-tangga ikonik dunia seperti The Spanish Steps, Potemkin Stairs dan juga tangga Batu Caves.
Estetik tangga pelbagai rona ini menjadikannya lebih cantik untuk menarik pelancong ke Putrajaya. Kebanyakan pengunjung yang bersenam gemar melalui jalan ini dan ramai kelompok keluarga datang ke sini untuk berjalan-jalan santai sambil menikmati pemandangan.
Lokasi : Putrajaya Steps, Presint 1
Waktu Operasi : Setiap Hari
3. Secret Garden

Jika korang dah sampai ke Putrajaya Steps atau Dataran Putra, korang wajib singgah di Secret Garden. Tarikan bercahaya pelbagai bentuk dan rupa yang unik, bersinar dan kelihatan hidup pada waktu malam.
Secret Garden terletak betul-betul di hadapan Hotel Pulse Grande dan juga garisan penamat untuk Putrajaya Steps. Selepas korang penat mendaki tangga, bolehlah berehat santai di sini.

Juraian lampu LED pada pokok, arca dinosaur, tapak bergambar, dan banyak lagi tarikan menarik ada di sini. Terdapat juga orang yang berniaga makanan serta mainan untuk kanak-kanak.
Jika korang merancang untuk ke sini, dinasihatkan untuk datang awal iaitu pada lewat petang kerana lokasi ini agak popular. Tapak letak kereta juga adalah terhad, jadi korang boleh meletakkan kenderaan di hadapan Hotel Pulse Grande ataupun daripada Dataran Putra dan berjalan lebih kurang 10 minit.
Lokasi : Secret Garden, Presint 1
Waktu Operasi : Setiap Hari I 7.00 pagi – 12.00 tengah malam
4. Kelab Tasik

Kalau korang mencari destinasi yang mempunyai tarikan lebih lasak untuk orang dewasa, Kelab Tasik adalah tempat terbaik. Anak-anak juga boleh join beraktiviti di sini.
Kelab Tasik terletak bersebelahan dengan Tasik Putrajaya dan menawarkan aktiviti air seperti kayak, kanu, dan mendayung kayak berkumpulan. Selain itu, korang boleh berbasikal, memberi makan kepada ikan, berpiknik, dan beriadah santai.

Korang boleh menyertai keahlian di Kelab Tasik untuk mendapatkan harga aktiviti yang lebih murah selain dapat bermain kolam renang di sini. Namun, kalau korang datang sekadar mencuba dan berjalan-jalan pun masih menarik.
Fasiliti yang disediakan di sini ialah kafe, restoran, kawasan rehat di lobi dan anjung. Manakala jika korang adalah ahli kelab, korang boleh menikmati Bayu Lounge, Captain Cabin, dan Bilik Rekreasi.
Lokasi : Kelab Tasik, Presint 8
Waktu Operasi : Setiap Hari I 8.00 pagi – 10.00 malam
Info Lanjut : http://kelabtasikputrajaya.com.my/
Pautan Instagram : https://www.instagram.com/kelabtasikputrajaya/
5. Ayer@8

Lokasi riadah yang popular dalam kalangan keluarga untuk berjalan-jalan, makan, membeli-belah, dan beraktiviti.
Ayer@8 ialah lokasi deretan kedai serta pejabat yang mempunyai pemandangan tasik yang cantik. Korang boleh dapatkan shot Masjid Besi yang berada di seberang daripada Ayer@8.

Banyak restoran dan kedai-kedai yang menarik di sini. Korang juga boleh menjumpai butik baju serta tudung, bakeri, kedai makanan pencuci mulut, dan kafe.
Paling popular adalah kawasan di tingkat bawah berdekatan tasik yang menjadi port aktiviti seperti berbasikal, skuter elektrik, motor elektrik, piknik, mesin buih automatik, dan banyak lagi. Terdapat kawasan letak kereta di bahagian bawah yang banyak, namun lokasi ini agak popular dan ramai.
Lokasi : Ayer@8, Presint 8
Waktu Operasi : Setiap Hari I 11.00 pagi – 11.00 malam
6. Taman Cabaran

Lokasi untuk korang menggunakan semua tenaga dengan aktiviti outdoor. Kalau korang mencari tempat lapang untuk beraktiviti dengan anak-anak, bolehlah datang ke sini.
Kompleks sukan mendaki di sini berkeluasan satu padang bola sepak dan menawarkan aktiviti sukan lasak mendaki dinding tiruan. Dewan mendaki yang berbumbung ini adalah yang terbesar di rantau Asia.

Aspek keselamatan di sini adalah terjamin, malah korang boleh menyewa peralatan keselamatan seperti kasut, tali, beg dan peralatan memanjat. Selain itu, Mountain Bike Trail juga ada disediakan di sini.
Korang boleh membawa anak-anak untuk berlatih papan luncur, bermain kasut roda, dan macam-macam lagi aktiviti outdoor di kawasan lapang yang selamat.
Lokasi : Taman Cabaran, Presint 5
Waktu Operasi : Setiap Hari I 10.00 pagi – 8.00 malam
Tiket Masuk Kompleks Sukan Mendaki : Dewasa RM6 I Kanak-Kanak RM3
Info Lanjut : https://www.facebook.com/Putrajaya.Challenge.Park/
7. Taman Botani

Salah satu tarikan popular dalam kalangan penduduk setempat sebagai kawasan healing. Korang boleh beriadah santai dikelilingi suasana alam semula jadi yang mendamaikan.
Taman Botani Putrajaya terbahagi kepada lima seksyen iaitu Explorer’s Trail, Palm Hill, Floral Garden, Sun Garden, dan Lakeside. Di sini, korang boleh berjoging, trekking, ataupun berjalan-jalan melihat keindahan pokok-pokok dan hidupan di kawasan tasik.

Terdapat lebih 700 jenis tumbuhan daripada pelbagai benua di dunia. Korang boleh beriadah di laluan pejalan kaki yang disediakan atau menunggang basikal sewa.
Fasiliti yang tersedia di sini adalah seperti tapak letak kereta yang banyak, restoran, basikal sewa, paddle boat, dan banyak lagi. Korang boleh sampai ke sini menaiki bus dari stesyen MRT ataupun ERL.
Lokasi : Taman Botani, Presint 1
Waktu Operasi : Setiap Hari I 9.00 pagi – 7.00 petang
Info Lanjut : https://www.facebook.com/tamanbotaniputrajaya/
Pautan Instagram : https://www.instagram.com/tamanbotaniputrajaya/
8. Alamanda Steps

Laluan yang pada mulanya sekadar jalan untuk pengunjung di pusat beli-belah kini menjadi tempat menarik Putrajaya untuk mencipta memori.
Paling menarik, Alamanda Steps adalah lokasi yang memenangi anugerah platinum untuk kategori Taman Awam Terbuka (On The Move) anugerah MyPlace Awards Night 2019 yang dianjurkan oleh Institut Perancang Malaysia.

Kawasan yang dikira biasa kini diberi wajah baharu dan berfungsi sebagai tapak sosial dan rekreasi untuk orang ramai. Korang boleh berlepak santai, bergambar, dan melihat suasana tasik yang berada di hadapan tangga.
Lokasi : Alamanda Steps, Presint 1
Info Lanjut : https://www.facebook.com/putrajayaholdings
9. Astaka Morocco

Kalau korang berada di Taman Botani, jangan lupa untuk singgah di Astaka Morocco atau Moroccan Pavilion.
Seni bina tiang, gerbang, dinding mozek, halaman air pancut dan panel kayu yang diukir berat disatukan dalam himpunan seni bina Afrika Utara yang menakjubkan, mewujudkan suasana pavilion tipikal Maghribi.

Menariknya di sini, selain elemen fizikal seni bina, unsur tubuh seperti deria, mata, dan telinga juga dibangkitkan menggunakan tekstur, warna, pencahayaan dan bayang-bayang, serta juga aroma.
Di sini, seni reka bentuk dan binaan menjadi kebangaan dan pengunjung digalakkan untuk meneliti bukan sahaja dari sudut luaran, malah daripada aspek intrinsiknya seperti motif ukiran ayat Al-Quran yang diukir.
Lokasi : Astaka Morocco, Presint 1
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Selasa I 9.00 pagi – 6.00 petang
Tiket Masuk : Dewasa RM3 I Kanak-Kanak RM1
Info Lanjut : Moroccan Pavilion Putrajaya
10. Taman Saujana Hijau

Lokasi ini popular sebagai taman rekreasi untuk aktiviti outdoor di samping tapak piknik yang mempunyai persekitaran cantik dan tenang.
Taman Saujana Hijau paling terkenal sebagai spot OOTD apabila tiba musim pokok bunga matahari. Ramai pengunjung akan berpusu-pusu untuk mengambil gambar dan bersantai di sini sebelum jangka hayat pokok bunga matahari itu tamat.

Taman di sini dibahagikan kepada 3 konsep iaitu European Garden, Oriental Garden, dan English Garden. Setiap taman mempunyai wakaf ataupun gazebo yang melambangkan negara seperti Eropah, China, dan Inggeris.
Paling menarik ialah tumbuhan jenis gymnosperma yang ditanam seperti pine, juniper, dan thuja. Tumbuhan ini dikenali sebagai fosil hidup kerana telah wujud sejak zaman Devon (410-360 juta tahun lalu) sebelum era dinosaur.
Lokasi : Taman Saujana Hijau, Presint 11
Waktu Operasi : Setiap Hari I 7.00 pagi – 7.00 petang
Info Lanjut : https://www.ppj.gov.my/second-menu/taman-saujana-hijau
Putrajaya sememangnya lokasi yang penuh potensi dan destinasi pelancongan yang menarik. Banyak tempat menarik Putrajaya yang dapat diterokai. Jom masukkan dalam Travelist seterusnya!
Baca Juga :