dark mode light mode Search

10 Tempat Menarik di Cameron Highlands Selain Petik Strawberi

(2023) Aktiviti & Tempat Menarik di Cameron Highlands Selain Petik Strawberi

Cameron Highlands terkenal sebagai destinasi pelancongan yang menarik ekoran daya tarikan utamanya iaitu cuaca dan suhu yang sejuk, berpurata 17 sehingga 23 darjah celsius.

Walaupun Cameron Highlands beroperasi sepanjang tahun, waktu terbaik untuk korang melawat adalah sekitar hujung Februari sehingga Oktober. Pastikan korang bersedia dengan baju hujan ataupun payung apabila datang ke sini, lebih-lebih lagi pada musim hujan.

Selain memetik strawberi dan melawat kebun sayur, banyak perubahan serta destinasi baharu diperkenalkan yang boleh dinikmati oleh semua, tak kiralah korang solo-traveler, berkeluarga, berbulan madu, leisure seeker, mahupun adventurous.

Ini antara tempat menarik di Cameron Highlands yang korang boleh lawati:

Tempat Menarik di Cameron Highlands Selain Petik Strawberi

1. Mossy Forest

Kredit @dunyaninetrafinda via Instagram

Mula beroperasi kembali pada 4 Januari 2023 selepas kerja-kerja penambahbaikan, destinasi ini lebih bersifat lasak namun masih boleh dinikmati oleh golongan berkeluarga. Jalan ke sini agak mencabar dan memerlukan kenderaan 4WD untuk sampai ke kawasan pendakian. Korang juga dinasihatkan untuk mengambil tour pakej kerana kenderaan persendirian tidak dibenarkan naik atas faktor keselamatan.

Panorama di sini sememangnya magical dan penuh misteri dengan kabus serta pohon yang dibaluti lumut. Korang juga dapat merasai pendakian unik melalui platform yang disediakan dalam suasana nyaman dan sejuk.

Kredit @muhammadhanifzahari via Instagram

Tips penting adalah untuk memakai pakaian yang sesuai bagi mendaki, dan pastikan korang tak memusnahkan lumut di situ kerana sifatnya yang sensitif di samping mengambil masa yang sangat lama untuk tumbuh kembali.

Tiket Masuk : Dewasa RM10 I Kanak-kanak RM5

Laman Rujukan Pakej : https://www.facebook.com/mossyforestcameronhighland

2. Coral Hill

Kredit @bluesxgreens_ via Instagram

Sama seperti Mossy Forest, Coral Hill juga menampilkan pemandangan serta suasana hutan lumut yang mengancam, namun kondisi di sini lebih terpelihara dan mencabar. Korang akan mendaki laluan yang tidak berplatform dan melalui jalan-jalan sempit serta mencanak.

Tarikan utama di sini tentunya pengalaman mendaki hutan lumut di mana tanahnya adalah kompos yang tebal dan memberikan efek spring apabila berjalan. Di samping itu, terdapat spesis periuk kera yang pelbagai dan variasi pokok unik.

Kredit @norzusalleh via Instagram

Tips penting ke sini adalah untuk mengambil tour pakej bagi tujuan navigasi trail ke puncak. Pastikan pakaian korang bersesuaian dan jangan rosakkan lumut sepanjang pendakian.

Tiket Masuk : Percuma

Laman Rujukan Pakej : https://www.facebook.com/mossyforestcameronhighland

3. Cameron Adventurous ATV & Safari

Kredit @cameron_adventures_ via Instagram

Kalau korang berjiwa muda dan inginkan kelainan, ini tempat yang sesuai. Pusing ladang teh menaiki ATV dan boleh tengok view daripada sudut atas. Selain menaiki ATV, ada juga pilihan lain seperti 4×4 Safari, Air Swing, dan Safari Park.

Paling popular ialah Air Swing iaitu buaian warna-warni yang membuatkan korang terapung di udara! Korang boleh beli tiket siap-siap di kaunter Cameron Adventurous ATV & Safari ataupun di lokasi Air Swing itu sendiri.

Kredit @cameron_adventures_ via Instagram

Safari Park pula adalah petting zoo mini yang menampilkan haiwan-haiwan jinak seperti arnab, kambing, pelbagai jenis ayam dan burung, serta banyak lagi. Kawasannya agak kecil namun cukup untuk menghiburkan anak-anak.

Harga Aktiviti : ATV – Single RM80 I Double RM90 (Bawah 100kg) 4×4 Safari : Dewasa RM20 I Kanak-Kanak RM15 Safari Park : Dewasa RM8 I Kanak-Kanak RM5 Air Swing : RM10

Waktu Operasi : Setiap Hari I 10.00 pagi – 6.00 petang

Info Lanjut : https://www.facebook.com/CameronAdventurous

4. Cameron Highlands Flora Park

Kredit @chromaticcharms via Instagram

Destinasi baharu yang terkenal dengan spot-spot bergambar yang sangat insta-worthy. Cameron Highlands Flora Park terbahagi kepada kawasan indoor serta outdoor dan kedua-dua kawasan ini sangat luas untuk korang terokai. Korang sememangnya akan berada di sini seharian jika suka bergambar.

Paling terkenal di sini ialah tarikan outdoor seperti Stairs to Heaven, Glass Stairs, Flower Frame, dan banyak lagi. Di bahagian indoor pula, korang akan lihat banyak kawasan piknik yang boleh disewa. Ada juga Hobbiton Village iaitu rumah-rumah kecil berkonsepkan dari New Zealand yang sangat indah untuk korang sewa dan meluangkan masa bersama orang tersayang dalam suasana yang private.

Kredit @ch_flora_park via Instagram

Tips penting apabila ke sini, kebanyakan tarikan terutamanya di kawasan outdoor adalah bertangga dan tidak sesuai untuk mereka yang membawa stroller mahupun kerusi roda. Malah, korang akan menaiki 4WD yang disediakan untuk sampai ke sini bermula dari tempat letak kereta yang disediakan berdekatan KEA Farm.

Tiket Masuk : Dewasa RM50 I Kanak-Kanak RM25

Sewaan Hobbiton Village : RM388 (2 Tiket Masuk + Makan dan Minum)

Waktu Operasi : Setiap Hari I 9.30 pagi – 7.00 petang

Info Sewaan : https://cameronfloragarden.rezio.shop/en-US/product/RE8ABB

Info Lanjut : https://www.instagram.com/ch_flora_park/

5. Kem Sungai Pauh

Kredit @su_ayeenacooking via Instagram

Akhir-akhir ini, konsep percutian secara berkhemah ataupun camping amat popular dan menjadi pilihan ramai. Kini, korang boleh merasai pengalaman camping dalam suasana nyaman serta sejuk secara semula jadi ala-ala percutian di luar negara.

Kem Sungai Pauh yang berada di bawah kelolaan Ekopelancongan Perhutanan Pahang memberikan korang pilihan baharu yang lebih dekat dengan alam semula jadi. Namun untuk berkhemah di sini, korang memerlukan kelulusan secara online melalui pautan Sistem Ekopelancongan Perhutanan Pahang.

Kredit @cham_rizal via Instagram

Tapak perkhemahan di sini dapat menampung sehingga 200 orang yang dilengkapi fasiliti seperti surau, tandas, tempat letak kenderaan, pondok, dan plag soket. Terdapat juga sungai di kawasan berdekatan yang boleh korang nikmati. Lokasi Kem Sungai Pauh ini berdekatan dengan Pekan Tanah Rata, kira-kira 1km.

Tips untuk ke sini, korang harus mendapatkan kelulusan dan reserve spot sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum kerana permintaan yang tinggi daripada ramai orang. Terdapat lokasi berkayu dan bertanah untuk memasang khemah dan spot adalah berdasarkan first-come, first-serve.

Tiket Masuk : Dewasa RM3 I Kanak-Kanak RM1.50

Sewa Tapak 1 Malam : RM10

Caj Letak Kereta : RM3

Info Sewaan : http://apps.forestry.pahang.gov.my/ekorimba/main/index.php

Info Lanjut : https://www.forestry.gov.my/my/pahang/taman-eko-rimba-sungai-pauh

6. Cameron Centrum Mall

Kredit @lowjinping via Instagram

Terserlah dengan konsep seni bina Tudor daripada Zaman Pertengahan atau Medieval dari England, Cameron Centrum menjadi destinasi viral yang wajib disinggah apabila datang ke Cameron Highlands. Spot bergambar yang banyak terutamanya pada waktu malam dengan hiasan lampu-lampu pelbagai warna serta cuaca dan suhu yang sejuk membuatkan ramai tertarik untuk ke sini.

Kredit @nor.azlindaaaa via Instagram

Selain bergambar, terdapat banyak restoran dan kedai-kedai francais seperti Starbucks, Pizza Hut, Marrybrown, Family Mart dan banyak lagi. Di bahagian bawah pula terdapat supermarket yang membolehkan korang untuk membeli barangan keperluan. Lokasinya yang strategik memudahkan untuk orang ramai datang dan berkumpul untuk aktiviti riadah dan meluangkan masa bersama.

Tips apabila korang ke sini adalah untuk datang pada waktu malam bagi mendapatkan gambar yang lebih cantik. Tempat letak kenderaan juga banyak dan keadaan serta suasana di sini amat bersih dan meriah.

Waktu Operasi : Setiap Hari I 10.00 pagi – 10.00 malam

Info Lanjut : https://cameroncentrum.com.my/

7. The Sheep Sanctuary

Kredit @fie.fyy via Instagram

Terletak berhampiran Kea Farm, pasti korang takkan terlepas pandang apabila terlihat papan tanda berlogo kambing biri-biri ini. Istimewa di The Sheep Sanctuary, kambing biri-biri berbaka merino ini diimport dari Australia. Daripada rupanya yang putih dan gebu, pasti korang akan terpikat dengan kecomelan biri-biri di sini.

Apabila korang masuk ke sini, korang akan dapat sekali makanan untuk diberikan kepada biri-biri. Kawasan di sini dijaga bersih dan cukup luas untuk melihat biri-biri berlari bebas.

Kredit @syah_naddy via Instagram

Tips jika korang nak ke sini, pastikan korang datang awal kerana tempat letak kereta adalah terhad di samping terletak di kawasan hotspot iaitu di Kea Farm. Jalan menghala ke tempat ini juga agak curam dan bertangga, jadi kurang sesuai untuk korang yang bawa stroller mahupun kerusi roda.

Waktu Operasi : Setiap Hari I 9.00 pagi – 5.30 petang

Tiket Masuk : Dewasa RM8 I Kanak-Kanak RM5

Info Lanjut : https://www.facebook.com/profile.php?id=100063890280036

8. Kampung Taman Sedia

Kredit @pdtchighlands.pahang.gov.my

Terletak di antara Pekan Tanah Rata dan Brinchang, Kampung Taman Sedia adalah lokasi yang terletaknya pelbagai tarikan terutamanya restoran dan homestay. Dikatakan juga tempat ini ialah lokasi penempatan orang Melayu pertama di Cameron Highlands.

Antara destinasi popular di sini ialah Abang Strawberry dan kafenya 200 Seeds, Opah Strawberry, dan Tiny Boutique Habitat yang kafenya terkenal dengan pizza yang dimasak di dalam oven tanah.

Kredit @tinyboutiquehabitat via Instagram

Selain destinasi-destinasi yang menarik, Kampung Taman Sedia juga terkenal dengan sejarahnya, malah pernah dicatat di dalam buku ‘Anak Mat Lela Gila’ tulisan Pak Sako. Tips apabila korang ke sini, Kampung Taman Sedia adalah laluan alternatif untuk ke Brinchang dari Tanah Rata, jadi korang boleh rancang perjalanan apabila berada di Cameron Highlands pada musim puncak.

9. Time Tunnel Museum

tempat menarik cameron highlands
Kredit @n.njw4_via Instagram

Kena dengan namanya, korang akan merasai seakan-akan menginjak ke zaman lampau apabila melihat barangan antik di sini. Selain memorabilia, korang juga dapat melihat sejarah Cameron Highlands melalui gambar yang dipamerkan.

Banyak spot-spot bergambar yang unik dan sudut estetik yang boleh korang terokai di sini. Pastikan korang berhati-hati apabila bergambar kerana ada barangan mudah pecah seperti piring dan cawan yang boleh digerakkan.

tempat menarik cameron highlands
Kredit @addychia_via Instagram

Tips untuk korang yang berhasrat untuk singgah, muzium ini terletak di antara Brinchang dan Kea Farm, dan korang akan nampak arca strawberi di sisi jalan sebagai landmark.

Tiket Masuk : Dewasa RM8 I Kanak-Kanak RM6

Waktu Operasi : Setiap Hari I 9.00 pagi – 6.00 petang

10. Stellar GoldenHill Cameron

tempat menarik cameron highlands
Kredit @stellargoldenhill via Instagram

Kalau korang mencari kelainan bila datang ke Cameron Highlands dan inginkan pengalaman yang lebih santai serta estetik, Stellar GoldenHill adalah lokasi terbaik. Istimewanya di sini, mereka menyediakan penginapan unik seperti caravan, cottage tent, starlux iaitu penginapan glamping dengan pemandangan yang mengancam, dan banyak lagi.

tempat menarik cameron highlands
Kredit @stellargoldenhill via Instagram

Mungkin korang dah banyak kali singgah ke Cameron Highlands dan mencari pengalaman baharu, jadi inilah tempatnya. Kawasannya yang bersih, lapang, dengan estetik rona pastel membuatkan seakan-akan korang terasa dekat dengan alam.

Korang tak perlu risau daripada segi fasiliti kerana semuanya serba lengkap di sini dan rata-rata pengunjung yang pernah ke sini memberikan review terbaik terhadap servis yang diterima.

Waktu Operasi : Setiap Hari

Info Harga Penginapan : Stellar GoldenHill

Info Lanjut : https://stellargoldenhill.com/

Pautan Instagram : https://www.instagram.com/stellargoldenhill/

Banyak rupanya tempat menarik di Cameron Highlands yang boleh dikunjungi untuk pelbagai aktiviti selain petik strawberi, kan?

Selamat melancong!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *