Mesti ramai yang tak tahu Perlis ada banyak tempat menarik, cantik dan estetik untuk bergambar kan?
Sebelum ini, Perlis hanya terkenal sebagai negeri sempadan untuk ke Thailand dan tempat persinggahan. Namun, Perlis sebenarnya kaya dengan tarikan alam semula jadi dan kini berkembang sebagai tempat pelancongan yang menarik.
Memandangkan ramai keluar melancong untuk dapatkan gambar yang unik, rare, dan lain daripada yang lain, korang bolehlah datang ke Perlis! Pasti korang akan terpegun dengan keindahan yang tiada tolok bandingnya.
Ini antara tempat menarik di Perlis yang estetik dan wajib korang lawati:
Tempat Bergambar Menarik & Estetik di Perlis
1. Kampung Seberang Ramai

Lokasi yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan, kini berjaya menarik ramai pelancong dalam dan luar negeri. Inisiatif ini adalah hasil daripada Raja Muda Perlis sendiri iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di bawah Program Pengindahan dan Kempen Rakyat Perlis Hidup Bersih.
Di sini, korang dapat melihat rumah-rumah kayu yang dicat dengan warna terang dan ceria yang memberikan gelaran kampung warna-warni. Paling penting, setiap sudut di sini bagaikan syurga untuk penggemar OOTD. Antara tarikan di sini termasuk payung pelangi, mural yang pelbagai, lorong rakyat, laman laksa, dan banyak lagi.

Selain berjalan-jalan, korang juga boleh menyewa basikal ataupun menaiki beca bermotor. Penduduk di sini juga ramah dan ceria, korang bolehlah menyokong mereka dengan membeli produk lokal yang dijual di kawasan kejiranan ini.
Pro Tip! – Korang boleh bawa payung dan kipas untuk dijadikan sebagai props dan juga untuk berlindung daripada panas matahari kerana kawasan ini adalah open-air dan lorong tidak berbumbung.
Waktu Operasi : Setiap Hari
Info Lanjut : Kampung Seberang Ramai
2. Jambatan Tuanku Syed Putra

Tak jauh daripada Kampung Seberang Ramai ini adalah Jambatan Tuanku Syed Putra yang juga telah dinaik taraf serta dibaik pulih. Jambatan yang asalnya diguna sebagai jalan pintas antara Kampung Seberang Tok Pi dan Kampung Seberang Ramai kini menjadi spot menarik untuk bergambar.
Selain bergambar, korang juga dapat menikmati suasana tenang sambil melihat kegiatan dan panorama di Sungai Perlis. Banyak kapal-kapal, sampan, rumah nelayan serta pemancing yang korang boleh lihat di sini.

Pro Tip! – Ini adalah lokasi terbaik untuk korang dapatkan shot timelapse dan juga shot matahari terbenam.
Waktu Operasi : Setiap Hari
Info Lanjut : https://explore.perlis.gov.my/Destination/view/P7Sw
3. Tasik Timah Tasoh

Spot yang pernah viral suatu ketika dahulu dengan shot yang dinamakan ‘Lonely Tree’ di Empangan Timah Tasoh. Tasik Timah Tasoh yang dahulu sepi dan hanya menarik pemancing kini menjadi destinasi wajib untuk korang yang mahukan gambar unik.
Ramai ke sini untuk mendapatkan shot Bukit Chabang yang gah dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand. Ada juga yang menggemari shot alam seperti kangkung kerbau, semalu air, keladi bunting, burung upeh, dan banyak lagi spesis yang membiak di sini.

Pro Tip! – Selain meronda kawasan Tasik Timah Tasoh menaiki bot, ada juga kolam ikan dan kedai makan. Ramai juga yang menjadikan lokasi ini sebagai port berkhemah. Pastikan korang menjaga kebersihan dan tak merosakkan alam sekitar di sini.
Waktu Operasi Bot : Setiap Hari I 8.00 pagi – 7.30 petang
Lokasi Bot : Santuari Ikan Air Tawar, Lorong Kesinai, Timah Tasoh
Harga Boat Ride : RM50 (6pax untuk 30 minit)
Info Lanjut : Tasik Timah Tasoh
4. Tasoh Lake Resort

Tak jauh dari Santuari Ikan Tasik Timah Tasoh, jangan lepaskan peluang untuk melawat Tasoh Lake Resort by Tasoh TasikKu. Di sini terdapat banyak spot-spot untuk bergambar yang cantik serta aktiviti yang menarik untuk seisi keluarga.
Banyak installation art yang korang akan nampak di sini seperti arca kartun dan animasi, deretan bunga LED, kereta-kereta klasik, gerbang pelangi, dan macam-macam lagi. Korang juga boleh menyewa basikal, skuter elektrik, kereta api mini, dan banyak lagi.

Pro Tip! – Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, jadi korang boleh menginap di resort yang ada. Spot di sini juga sangat sesuai untuk mendapatkan shot matahari terbit dan terbenam. Pakej team-building juga ada ditawarkan.
Waktu Operasi : Setiap Hari I 8.00 pagi – 10.00 malam
Tiket Masuk : RM5 untuk satu kereta I RM2 untuk satu motosikal
Info Lanjut : https://www.facebook.com/TasohTasikKu
5. Secret Garden, Gua Kelam

Di hujung ekspedisi megharungi Gua Kelam, korang jangan terkejut melihat satu taman rahsia atau secret garden yang indah dan terpelihara. Gua Kelam boleh dikatakan gua batu kapur yang tercantik di Malaysia.
Korang akan merentasi gua ini di platform yang tersedia dengan pencahayaan yang baik, jadi tak ada masalah untuk semua orang melalui dan merasai Gua Kelam ini. Kira-kira 30 minit, korang akan sampai di Secret Garden!
Apa yang korang akan jumpa di Secret Garden? Sungai-sungai kecil yang membentuk kolam dan jambatan kecil memberikan efek magical dan misteri. Korang juga boleh berkelah atau menghayati momen healing di pondok-pondok yang disediakan. Daripada segi fasiliti, semuanya serba lengkap di sini.

Pro Tip! – Terdapat dua jalan masuk di Gua Kelam. Laluan yang lebih mencabar perlu ditempah dan akan ditemani cave guide. Pastikan korang menjaga kebersihan dan tidak merosakkan suasana alam di sini.
Waktu Operasi : Setiap Hari I 9.00 pagi – 5.30 petang
Tiket Masuk : Dewasa RM2 I Kanak-Kanak RM1
Info Lanjut : https://forestry.perlis.gov.my/index.php/ms/eko-pelancongan/gua-kelam
6. Kampung Ujung Bukit

Seakan-akan kembali ke masa lampau, Kampung Ujung Bukit terkenal sebagai lokasi homestay dengan estetik serta gaya hidup di kampung. Deretan rumah di kaki bukit memberikan pemandangan yang sangat indah, berlatarbelakangkan bendang, kolam air, dan kehijauan pohon sekeliling.
Di sini, korang boleh melakukan bermacam aktiviti seperti jungle trekking, abseiling, menuai padi (April – June dan Ogos – Disember), memancing, memasak kuih tradisional, dan macam-macam lagi.

Segenap sisi di Kampung Ujung Bukit sangat sesuai untuk korang bergambar. Di sini juga spot yang terkenal untuk korang mengambil shot matahari naik dan terbenam.
Pro Tip! – Setiap homestay menawarkan pakej berlainan, malah setiap rumah juga mempunyai estetik tersendiri. Korang boleh pilih aktiviti serta konsep yang korang inginkan mengikut bajet.
Info Lanjut : https://perlishomestay.my/accommodations/ujung-bukit/
7. Ladang Nira Nipah Kipli

Sukar untuk mendapatkan air nira kerana nira adalah produk yang cepat rosak dan perlu diminum segera. Namun, korang boleh menikmati air nira nipah yang segar di sini.
Istimewanya di sini, konsep dan estetik yang mereka gunakan ialah dangau ataupun pondok, di samping ndoi atau buaian serta meja dan kerusi biasa. Korang wajib bergambar di deretan pokok nipah yang disusun rapi.

Selain menikmati air nira, korang juga boleh merasai laksa, ABC, bihun sup, mi udang, dan lain-lain lagi. Jeli nira nipah, cuka nipah, adalah antara produk istimewa yang korang wajib rasa.
Pro Tip! – Di sini juga terdapat mural, buaian dan hammock, serta macam-macam tarikan. Korang perlu datang awal untuk mendapatkan tempat duduk yang estetik untuk gambar.
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Isnin I 12.30 tengah hari – 6.30 petang
Info Lanjut : https://www.facebook.com/L.N.Khipli?locale=ms_MY
8. Ladang Kenaf

Korang mencari spot OOTD yang ada bunga, ala-ala di luar negara? Korang wajib singgah di Ladang Kenaf ni di Chuping. Panorama pokok kenaf seluas mata memandang akan membuatkan korang jatuh cinta dengan lokasi ini.
Ladang ini terletak di lebuh raya yang menghubungkan Chuping dengan Padang Besar. Korang wajib berhenti apabila melihat bunga putih di kiri dan kanan jalan.

Di Perlis, Kenaf akan ditanam seawal September dan akan dituai pada bulan Januari. Kalau korang nak gambar yang cantik, datang pada hujung tahun sebelum proses penuaian.
Pro Tip! – Pastikan korang membawa payung kerana kawasan kenaf adalah padang yang terbuka dan panas. Selain itu, ada juga tasik di kawasan berhampiran. Korang perlu berwaspada ketika bergambar kerana batang pokok ini mempunyai bulu yang membuatkan kulit gatal jika terkena.
Info Lanjut : Tourism Perlis Official
9. Nat Pokok Getah

Antara ikon bagi Pekan Arau yang menjadi tarikan pelancongan adalah Nat Pokok Getah, iaitu pasar pagi yang dijalankan di kawasan kebun getah.
Di sini, korang akan melihat estetik berbeza yang lebih rustic dan autentik terhadap gaya hidup masyarakat di Perlis. Deretan kedai yang menjual barangan basah, kelompok yang menjual barangan antik serta pakaian bundle, serta gerai makan dan minum boleh dijumpai di sini.

Pro Tip! – Datang awal untuk mendapatkan tempat letak kereta kerana ruang agak terhad. Kawasan Nat Pokok Getah juga agak besar, dan korang boleh mencari barang keperluan di sini.
Waktu Operasi : Setiap Jumaat & Ahad sahaja I 7.00 pagi – 1.00 petang
Info Lanjut : Nat Pokok Getah
10. Tok Kala Renun Cafe

Kedai makan yang menyajikan seleksi menu tradisional dengan suasana tenang dikelilingi sawah padi. Korang pasti akan jatuh cinta dengan pemandangan di sini sambil menikmati makanan yang sedap.
Korang boleh pilih untuk makan di pondok, bersebelahan dengan bendang padi untuk merasai pengalaman unik di sini. Barulah rasa vibe balik ke kampung.

Antara menu yang ada di sini ialah nasi lemak, pulut kuning, roti bakar telur goyang, lontong, rendang dan ketupat palas, serta banyak lagi.
Pro Tip! – Datang awal kerana ruang letak kereta adalah terhad. Stroller dan kerusi roda agak kurang sesuai untuk dibawa kerana keadaan jalan serta tiada kemudahan yang bersesuaian.
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Jumaat I 8.00 pagi – 12.00 tengah hari
Info Lanjut : https://www.instagram.com/tokkalarenuncafe/
Banyak tempat menarik & estetik di Perlis kan? Wajib masuk travelist untuk adventure korang seterusnya!
Baca Juga: