Kalau korang pernah berkunjung ke Tasik Cermin Ipoh sebelum ini, pasti korang tahu akan keindahan tarikan alam semula jadi yang wujud di bekas tapak kuari ini.
Namun, ramai yang menyuarakan pendapat serta komen mengenai isu keselamatan serta status lokasi ini yang belum diiktiraf sebagai pusat pelancongan.
Penantian terhadap persoalan ini berakhir apabila diumumkan pada 26 Februari 2022 oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak bahawa Tasik Cermin akan dibangunkan sebagai Taman Eko Kuari pertama di Malaysia.
Ini antara tarikan yang dinaik taraf serta produk baharu yang akan diperkenalkan di Tasik Cermin, Ipoh:
Tasik Cermin Ipoh, Tarikan Taman Eko Kuari Pertama Malaysia
Lokasi

Perjalanan dari Chemor memakan masa lebih kurang setengah jam, manakala jika korang datang dari Bandaraya Ipoh, perjalanan akan mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja.
Lokasi Ttasik ini adalah berhampiran Taman Qing Xin Ling yang juga terkenal sebagai spot bergambar.
Tasik Cermin beroperasi dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang dengan tiket masuk berharga RM4 untuk dewasa serta kanak-kanak.

Oleh kerana lokasi ini adalah bekas kawasan lombong, keadaan jalannya agak mencabar. Namun kerja baik pulih serta menaik taraf sedang dijalankan untuk mempertingkatkan kondisi kemudahan di sini.
Setelah korang meletakkan kenderaan, korang perlu berjalan ke arah pintu masuk gua yang akan membawa ke arah Tasik Cermin. Suasana sekeliling ketika korang menghala ke gua sangat cantik dengan pemandangan alam serta batu-batuan daripada bekas lombong.
Latar Belakang

Kawasan tasik ini terletak di Gunung Rapat berusia anggaran 480 juta – 250 juta dahulu (Zaman Ordovisi – Perm). Wujudnya tasik ini adalah ekoran aktiviti perlombongan di kawasan gunung batu kapur setelah sekian lama.
Tiada jalan masuk, melainkan terowong yang dibuat. Jika ada pun jalan masuk yang lain, mungkin tak diuar-uarkan kepada umum atas tujuan keselamatan.
Disebabkan Tasik Cermin adalah kawasan kuari lama yang tidak lagi beroperasi, dua tasik dan dua terowong unik di sini boleh dilawati serta selamat untuk pengunjung.
Tarikan di Tasik Cermin

Sebelum sampai ke terowong gua, korang akan menemui kawasan taman permainan Monkey Swing Playground. Di sini korang boleh melihat buaian dan jongkang-jongket berwarna-warni yang sesuai untuk kanak-kanak. Bolehlah korang bergambar dahulu di sini sebelum sampai ke Miner’s Tunnel.
Korang akan menjumpai terowong gua yang kini dipanggil Miner’s Tunnel untuk ke Mirror Lake di Tasik Cermin 1. Panjangnya lebih kurang 200 meter dan korang perlu melaluinya dengan berjalan kaki. Terowong ini telah pun dibesarkan untuk keselesaan pegunjung.
Di hujung terowong, korang akan disambut mesra dengan pemandangan tasik yang cukup indah. Terdapat dek pemerhatian terapung yang membolehkan korang untuk mengamati suasana alam. Di sinilah spot terkenal untuk korang bergambar dan bergaya di depan kamera.

Korang juga boleh menyewa bot dengan bayaran RM25 selama 20 minit. Korang akan melihat suasana Tasik Cermin 1 dengan lebih dekat. Suasana serta warna air juga bergantung kepada cahaya matahari, jadi korang akan melihat perubahan warna air mengikut cuaca.
Kini kawasan itu dikenali sebagai Tasik Cermin 1, manakala tarikan baharu iaitu Hidden World ataupun dipanggil sebagai Tasik Cermin 2 pula memberi pengalaman berbeza yang menarik.
Tarikan Baharu

Tasik Cermin 2 atau Hidden World hanya dapat diakses melalui bot menerusi tasik dan terowong gua sepanjang 120 meter. Korang akan menerokai kawasan baharu dan berpeluang merasai suasana gelap gua, titisan air yang jatuh, serta formasi batu kapur di dalam dinding gua.
Lokasi Tasik Cermin 2 adalah berdekatan tempat letak kereta. Jadi pastikan korang tahu lokasi tarikan yang ingin dilawati kerana kadar tiket serta pintu masuknya adalah berbeza. Bayaran bot di sini adalah RM25 juga.

Selain itu, korang boleh makan dan minum di kafe Kin Loong Valley Chang Jiang White Coffee. Suasana di sini sangat estetik dengan dekorasi minimal dan suasana gua batu kapur yang dekat.
Antara fasiliti yang ada serta kemudahan yang bakal disediakan ialah surau, tandas awam, kawasan pejalan kaki dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang selesa, tempat letak kenderaan serta gerai-gerai makanan dan minuman.

Tasik ini adalah kawasan pelancongan yang sedang membangun, jadi kebanyakan tarikan baharu masih dalam proses pembuatan. Malah, tempat ini mungkin akan mengumumkan penutupan pada hari-hari tertentu untuk kerja-kerja menaik taraf.
Antara tarikan yang bakal disiapkan ialah Adventure Park, resort, vila, dan banyak lagi. Pastikan korang mengikuti laman rasmi Tasik Cermin Ipoh untuk mengetahui info terkini.

Tips penting apabila korang datang ke sini ialah untuk membawa payung ataupun memakai topi kerana kawasan di sini agak panas dan kurang kawasan teduh.
Sehingga kini, kawasan Tasik Cermin kurang sesuai untuk korang membawa stroller mahupun kerusi roda.
Keadaan di sini pada hujung minggu serta cuti sekolah adalah agak padat. Pastikan korang datang awal untuk menikmati tarikan di sini. Korang juga boleh datang di luar waktu puncak untuk pengalaman yang lebih tenang.
Harga Tiket & Waktu Operasi
Waktu Operasi : Setiap Hari I 9.00 pagi – 6.00 petang
Tiket Masuk : RM4
Bayaran Tarikan Bot : RM25 untuk 20 minit
Pautan Instagram : https://www.instagram.com/tasikcermin/
Tasik ini menjanjikan tarikan pelbagai yang menarik. Walau bagaimanapun, tahap kemajuan dan penubuhan di sini masih pada tahap pembinaan.
Sementara itu, korang boleh melawat tarikan yang ada dan masukkan Tasik Cermin dalam Travelist korang untuk masa akan datang.
Baca Juga: