dark mode light mode Search

Taman Saujana Hijau Putrajaya, Panorama Alam Seperti di Oversea!

Antara aktiviti kekeluargaan yang mesra bajet namun tetap seronok dan berbaloi ialah menerokai taman. Taman Saujana Hijau Putrajaya adalah antara lokasi popular dengan pemandangan mengancam, sesuai untuk aktiviti outdoor bersama rakan dan famili.

Selain melihat pemandangan dan menikmati suasana, banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Paling menarik ialah konsep bustan ataupun taman yang ada di Taman Saujana Hijau ini.

Putrajaya antara lokasi jalan-jalan popular dengan tarikan menarik yang wajib dilawati. Ini antara aktiviti serta info tentang Taman Saujana Hijau Putrajaya yang korang boleh terokai:

Taman Saujana Hijau Putrajaya, Panorama Alam Seperti di Oversea!

Lokasi

taman saujana hijau putrajaya
Kredit @iam_yu_zi via Instagram

Terletak di Presint 11, Putrajaya, Taman Saujana Hijau adalah berkeluasan 47 hektar. Kebanyakan kawasan taman ini adalah berbukit dan dilitupi pokok-pokok dan kehijauan alam semula jadi.

Daripada pandangan pertama apabila korang sampai ke sini, taman ini seakan-akan memberi rasa persekitaran di Eropah. Strukturnya agak serupa dengan taman gaya Inggeris, di samping tarikan-tarikan alam seperti bunga yang mekar serta dekorasi taman di sini.

Dari Kuala Lumpur, perjalan akan memakan masa kira-kira 30 minit. Landmark paling jelas apabila korang sampai ialah balai polis yang terletak betul-betul bersebelahan dengan tempat letak kereta taman.

Waktu Operasi

taman saujana hijau putrajaya
Kredit @leeguancheng via Instagram

Taman ini beroperasi setiap hari pada jam 7.00 pagi sehingga 7.00 petang. Masuk ke sini adalah percuma.

Jika korang belum pernah sampai ke sini dan ingin mengetahui akan suasana di Taman Saujana Hijau, boleh lihat virtual tour di sini.

Lokasi ini popular sebagai taman rekreasi untuk aktiviti outdoor di samping tapak piknik yang mempunyai persekitaran cantik dan tenang.

Tarikan di Taman Saujana Hijau

taman saujana hijau putrajaya
Kredit @shirleyelw via Instagram

Taman ini paling terkenal sebagai spot OOTD apabila tiba musim pokok bunga matahari. Ramai pengunjung akan berpusu-pusu untuk mengambil gambar dan bersantai di sini sebelum jangka hayat pokok bunga matahari itu tamat.

Taman di sini dibahagikan kepada 3 konsep ataupun bustan iaitu Bustan Eropah, Bustan Oriental, dan Bustan Inggeris. Setiap bustan mempunyai wakaf ataupun gazebo yang melambangkan negara seperti Eropah, dan China.

taman saujana hijau putrajaya
Kredit @hye.nina via Instagram

Paling menarik ialah tumbuhan jenis gymnosperma yang ditanam seperti pine, juniper, dan thuja. Tumbuhan ini dikenali sebagai fosil hidup kerana telah wujud sejak zaman Devon (410-360 juta tahun lalu) iaitu sebelum era dinosaur.

Korang akan melihat jenis-jenis pokok prasejarah ini ditanam di setiap sudut taman. Selain itu, terdapat tumbuhan asli dari Queensland, Australia, iaitu Black Boy (Macrozamia moorei) yang mempunyai mahkota seperti pokok palma dan batang berwarna hitam seperti sarang lebah.

Aktiviti & Fasiliti di Taman Saujana Hijau

Kredit @mullyana99__ via Instagram

Taman Saujana Hijau adalah tempat terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Paling popular adalah aktiviti berjalan-jalan serta berkelah.

Selain itu, taman ini terkenal sebagai spot bergambar untuk penggambaran perkahwinan serta lokasi OOTD media sosial. Namun, pastikan korang mendapat kelulusan daripada pihak majlis perbandaran jika ingin melakukan penggambaran formal yang menggunakan kamera profesional. Tiada masalah jika sekadar menggunakan telefon pintar.

Kredit @adamiedavid via Instagram

Taman Saujana Hijau paling sesuai untuk aktiviti joging pagi dan petang. Taman ini mempunyai trek joging sepanjang 2.8km yang dikelilingi suasana hijau menyegarkan.

Korang juga boleh berbasikal di sini kerana treknya cukup lebar dan luas. Oleh kerana taman ini terletak di bahagian tinggi, akan ada bahagian trek yang curam dan memerlukan korang untuk mendaki. Sambil beriadah santai, bolehlah keluarkan peluh dan bersenam.

Tapak di kawasan ini juga boleh disewa untuk acara-acara tertentu seperti rekreasi, treasure hunt, majlis perkahwinan, dan majlis keraian. Rujuk sini untuk mengetahui kadar sewaan tapak di Taman Saujana Hijau.

Kredit @joyce.cheah via Instagram

Pro Tip! – Taman ini rata-ratanya adalah kawasan terbuka, jadi pastikan korang memakai topi atau membawa payung. Trek di sini luas dan rata, cuma kawasannya agak mencanak di beberapa tempat.

Jadi jika korang membawa kerusi roda, boleh turunkan penumpang berdekatan lampu isyarat di depan balai polis kemudian pusing semula ke kawasan tempat letak kereta.

Taman Saujana Hijau Putrajaya antara lokasi terbaik untuk meluangkan masa bersama rakan, pasangan, famili, mahupun beraktiviti seorang diri.

Jika korang meminati tarikan dengan pemandangan alam semula jadi, wajib masukkan dalam jelajah Travelist seterusnya.

Baca Juga:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *