dark mode light mode Search

5 Aktiviti di Pantai Cenang, Langkawi, Jalan-jalan & Shopping!

Jika korang terbang ke Langkawi, pemandangan yang boleh dilihat adalah lautan bergemerlapan, hamparan pantai berpasir, dan gugusan pulau yang indah. Melihat kepada suasana ini sahaja, pasti akan membuatkan korang teruja untuk melakukan aktiviti di Pantai Cenang.

Pantai Cenang ialah pantai pasir putih sepanjang 2km yang terletak di garis pantai barat Langkawi. Lokasi ini ialah pantai awam yang paling popular dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan.

Banyak tarikan menarik yang sesuai untuk semua golongan, tak kiralah korang melancong secara solo, berpasangan, bersama famili, mahupun berkumpulan. Ini antara aktiviti di Pantai Cenang yang korang boleh terokai:

5 Aktiviti di Pantai Cenang, Langkawi, Lokasi Popular Dengan Tarikan Menarik

Lokasi

aktiviti di pantai cenang
Kredit @malihassanofficial via Instagram

Pantai Cenang terletak di pinggir pantai barat Langkawi di tepi Jalan Pantai Cenang. Pantai ini juga terletak kira-kira 18.5km dari Pekan Kuah dan 15 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang terletak di Padang Matsirat.

Jika korang menetap di luar kawasan Pulau Cenang, lebih baik untuk datang ke sini menaiki motosikal, teksi, kereta sewa, ataupun perkhidmatan e-hailing kerana keadaan jalan di sini agak sibuk dan kawasan letak kereta adalah terhad.

Sesampainya di Pantai Cenang, korang akan melihat pantai yang panjang dengan pohon palma dan kelapa, pemandangan laut yang mengagumkan dan pulau-pulau berhampiran. Ini antara aktiviti menarik di sini:

1. Bersantai di Pantai

aktiviti di pantai cenang
Kredit @juliagehtreisen via Instagram

Aktiviti wajib di sini adalah berjalan-jalan serta berseronok di pantai. Pantai Cenang ialah pantai yang mesra keluarga, namun masih mempunyai tarikan hip untuk golongan muda.

Keadaan pantai di sini umumnya bersih dengan kondisi air laut yang cantik untuk berenang. Kebanyakan keluarga akan ke sini untuk berkelah manakala kebanyakan pengunjung luar gemar berjemur.

aktiviti di pantai cenang
Kredit @malihassanofficial via Instagram

Di sini, korang boleh menyewa kerusi pantai atau lounge dan payung besar. Hampir semua hotel dan resort berdekatan menawarkan sewaan ini termasuk penjaja di kawasan pantai.

Pantai Cenang juga terkenal dengan pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan. Kalau korang meminati suasana tenang, tak kira pada waktu siang, senja, ataupun malam, inilah tempat lepak terbaik.

Kredit @alexis_chinox via Instagram

Lokasi wajib bergambar di sini ialah papan tanda Langkawi di bahagian batuan tinggi sebelah selatan ataupun sisi kiri pantai. Ramai akan berfoto di sini untuk dimuat naik ke media sosial sebagai tanda ataupun bukti mereka telah sampai di Langkawi.

Pada waktu malam pula, ramai gemar ke sini untuk melihat pertunjukan api sambil duduk santai di bean bag. Kedai-kedai di sini pula dihiasi juraian lampu yang sangat estetik dan romantik.

2. Aktiviti Air

aktiviti di pulau cenang
Kredit @pakejlangkawibyhsya via Instagram

Percutian di Pantai Cenang tidak lengkap kalau korang tak beraktiviti di sini terutamanya aktiviti air. Luangkan masa bersama rakan ataupun keluarga dengan tarikan menarik di sini.

Terdapat banyak kiosk di pantai yang menawarkan pakej aktiviti seperti snorkeling, menaiki bot, jet ski, bot pisang dan paling popular di sini ialah parasailing.

Kredit @gotravelbelle via Instagram

Semasa musim cuti ataupun waktu puncak, korang akan melihat payung terjun berwarna-warni di langit. Parasailing kini menjadi salah satu imej ikonik di Pantai Cenang.

Aktiviti popular lain adalah menaiki bot untuk meneroka pulau-pulau berhampiran yang boleh dilihat dari pantai. Dua daripada pulau tersebut ialah Pulau Rebak Kecil dan Pulau Rebak Besar. Banyak lagi pakej pulau menarik yang korang akan temui di sini.

3. Membeli-Belah

Kredit @yiwen_0830 via Instagram

Satu lagi tarikan menarik di sini ialah jumlah kedai, gerai, restoran dan spa yang berjajar di sepanjang jalan tepi pantai. Setiap jenis barangan ada di sini termasuk pakaian, barang kemas, hadiah & cenderahati, aksesori dan semua yang korang perlukan.

Pantai Cenang adalah kawasan yang paling popular dengan kedai-kedai makan tempatan dan antarabangsa, kompleks membeli-belah bebas cukai dan resort mewah yang terletak di sepanjang pantai yang cantik.

Disebabkan Pantai Cenang adalah kawasan hotspot pelancongan, kedai-kedai yang ada timbul bak cendawan. Dinasihatkan untuk korang berjalan-jalan sambil membezakan harga di outlet yang ada kerana kebanyakan barangan yang dijual adalah sama seperti pakaian dan permainan.

4. Jalan-Jalan Cari Makan

Kredit @_farahsifa via Instagram

Terdapat banyak restoran yang sesuai untuk semua jenis bajet. Korang boleh menikmati hidangan masakan Melayu tempatan, Barat, makanan laut, India, Arab dan juga masakan fusion.

Namun, tak lengkap pengalaman korang bercuti di sini jika tidak mencuba restoran di tepi pantai. Kawasan tepi pantai ialah tempat yang meriah, penuh dengan kedai makan yang terang dan bergemerlapan pada waktu malam.

Antara restoran yang korang boleh cuba ialah Warung De Cenang, Artisans Pizza, Yasmin Express, Yellow Beach Cafe, dan paling popular dalam kalangan pasangan ialah Candle Light Dinner Cenang Beach.

5. Tarikan Berdekatan Pantai Cenang

Kredit @emilyliewhooinee via Instagram

Selain Pantai Cenang, terdapat beberapa tarikan lain yang boleh diterokai di sekitar sini. Kawasannya yang berpusat memudahkan pengunjung untuk mencari tarikan serta aktiviti selain yang ada di pantai.

Laman Padi ialah restoran dengan konsep tradisional yang terkenal dengan pemandangan menarik serta makanan gaya kampung. Korang akan makan di pondok khas sambil bersila berlatarbelakangkan sawah padi yang terbentang luas.

Kredit @zaidaria via Instagram

Kalau korang nak lari daripada bahang di luar, bolehlah singgah ke Underwater World Langkawi. Istimewanya di sini adalah tarikan penguin dan akuarium besar di samping haiwan akuatik lain.

Kalau korang suka pantai dengan suasana yang lebih tenang dan dekat dengan Pantai Cenang, korang boleh pergi ke Pantai Tengah. Lokasinya berada di sebelah papan tanda ikonik Langkawi di sisi kiri pantai. Masih ada aktiviti air di sini, malah pemandangannya juga cantik.

Kredit @fahrulazmi via Instagram

Di sepanjang Pantai Cenang, terdapat banyak hotel, resort, homestay, malah tapak glamping dan camping. Korang boleh pilih penginapan yang disukai dan sesetengah penginapan mempunyai kawasan pantai persendirian yang memberikan privasi terbaik.

Info Lanjut : https://www.visitkedah.com.my/about-langkawi.html

Pantai Cenang adalah lokasi family-friendly yang sangat menarik dan wajib dilawati. Waktu operasinya yang dibuka sepanjang hari menjadikannya spot lepak terbaik dengan tarikan pelbagai.

Jika korang meminati suasana pantai, wajib lakukan aktiviti di Pantai Cenang dalam jelajah Travelist seterusnya.

Baca Juga:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *