Antara infrastruktur ikonik di Kuala Lumpur yang menghubungkan kawasan KLCC dengan Kampung Baru. Pintasan Saloma antara tarikan menarik dengan makna yang mendalam pada reka bentuk jambatan tersebut.
Pemilihan nama Saloma itu sendiri adalah berdasarkan fahaman sejagat terhadap pengaruh ikon perfileman negara. Namun, mengapa nama Biduanita Pertama Negara dipilih untuk jambatan ini?
Jom terokai Pintasan Saloma yang popular sebagai tempat jalan-jalan menarik untuk bergambar serta tarikan yang ada berdekatan.
Jalan-Jalan di Pintasan Saloma, Jambatan Warna-Warni Memukau
Lokasi

Dibuka secara rasminya pada bulan Februari, 2020, Pintasan Saloma atau Saloma Link adalah sepanjangan 370 meter. Jambatan ikonik di Kuala Lumpur ini berfungsi untuk menyambungkan kawasan sentral Kuala Lumpur dengan Kampung Baru yang sebelum ini dipisahkan oleh Sungai Klang.
Terdapat dua cara untuk sampai ke sini. Dari arah Kampung Baru, korang boleh turun di stesyen LRT Kampung Baru dan berjalan 5 minit dari Lorong Raja Muda Musa 3. Malah, korang akan terus melihat Pintasan Saloma sebaik sahaja keluar dari stesyen LRT di sebelah kiri.

Dari arah KLCC pula, Pintasan Saloma terletak bersebelahan Menara Public Bank. Bila korang keluar dari jejantas ini, KLCC akan kelihatan jelas di depan mata. Selain itu, korang boleh mencari restoran NZ Curry House untuk ke sini.
Tempat letak kereta adalah terhad bagi kedua-dua lokasi. Dari KLCC, tempat letak kereta adalah di bahagian parking terbuka Public Bank. Harga untuk jam pertama ialah RM3 dan sebelum jam 4.00 petang. Jika terlebih daripada masa berkenaan, harga boleh mencecah RM13.
Jika korang ingin berkunjung ke sini tanpa perlu bersusah payah memikirkan isu meletakkan kenderaan, adalah lebih baik korang menggunakan pengangkutan awam.
Konsep, Reka Bentuk & Sejarah

Reka bentuk Pintasan Saloma adalah diinspirasikan daripada sirih junjung yang boleh dilihat daripada motif keseluruhan jambatan ini. Walaupun rupanya lebih moden dan abstrak, susunan bertindih satu bumbung dengan bumbung yang lain bagaikan lipatan daun sirih yang sinonim dengan gubahan hantaran perkahwinan adat Melayu.
Konsep di sebalik reka bentuk ini adalah perlambangan kesatuan serta kesejagatan. Simbol sirih junjung dalam adat perkahwinan melambangkan penyatuan dua jiwa, dan konsep ini terkandung dalam seni bina Pintasan Saloma iaitu penyatuan dua kawasan berbeza iaitu Kampung Baru dengan nadi bandar Kuala Lumpur.

Manakala asal usul nama jambatan ini pula adalah berasal daripada penyanyi berketurunan Malaysia-Singapura yang ikonik iaitu Puan Sri Datin Amar Salmah Ismail ataupun lebih dikenali sebagai Saloma. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang yang terletak berhampiran Pintasan Saloma.
Simbol dan fungsi penyatuan ini telah memanfaatkan orang ramai yang dahulunya mengambil masa 30 minit berjalan kaki daripada dua lokasi berbeza, dan kini dapat memendekkan perjalan selama 15 minit sahaja.
Aktiviti & Tarikan Berhampiran

Jambatan ini dihiasi lebih 4000 LED berwarna-warni dan menjadi satu tarikan indah, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Menariknya, lampu-lampu ini dapat bertukar warna dan mengikut tema musim perayaan.
Aktiviti yang biasanya dilakukan di sini adalah berjalan-jalan santai serta bergambar. Namun, lampu di sini dibuka sekitar jam 7.00 malam sehingga 12.00 tengah malam sahaja.
Jumlah pengunjung di sini agak ramai tidak mengira hari, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Jadi, dinasihatkan untuk melawat kawasan ini selain hujung minggu jika korang tidak gemar kawasan yang ramai.

Tarikan berhampiran yang popular adalah kawasan Kampung Baru yang popular sebagai tapak gastronomi ataupun syurga makanan. Selain itu, korang boleh mengunjungi KLCC, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), dan berlepak santai di Sembang PJ Art Lane yang terkenal dengan food truck.
Lokasi : Pintasan Saloma, Lorong Raja Muda Musa 3, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur
Baca Juga: