Kalau korang mencari lokasi untuk luangkan masa seharian bersama rakan mahupun keluarga, korang wajib meneroka dan rasai pelbagai aktiviti dan tarikan menarik i-City Shah Alam.
Terkenal sebagai hub pelancongan popular di Selangor, i-City ialah syurga pusat gaya hidup yang mempunyai kediaman, pusat beli-belah, pejabat, hotel, taman tema, dan pusat inovasi.
Digelar ‘Cyber Centre’ oleh MSC Malaysia, i-City ialah pusat kosmopolitan yang dibuka 24 jam untuk pelbagai kegiatan. Ini antara aktiviti dan tarikan menarik i-City yang korang boleh explore :
Tarikan Menarik i-City Shah Alam, Port Bercuti Best All-In-One di Selangor
Lokasi
i-City terletak di Seksyen 7, Shah Alam iaitu di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam. Cara paling mudah untuk ke sini ialah menggunakan kereta melalui lebuh raya NKVE, KESAS, Federal, mahupun GUTHRIE.
Korang juga boleh menggunakan pengangkutan awam dan turun di KTM Stesyen Padang Jawa. Kemudian korang perlu menaiki teksi ataupun perkhidmatan e-hailing untuk ke i-City.
Kawasan i-City meliputi 72 ekar dan mengandungi pelbagai tarikan dengan aktiviti menyeronokkan. Ini antara tempat menarik yang korang boleh cuba di sini:
Central i-City Shah Alam
Kebanyakan pengunjung datang ke sini untuk membeli-belah di Central i-City. Di sini, korang boleh menjumpai pelbagai outlet berjenama dan kedai lokal serta antarabangsa.
Selain itu, Central i-City juga mempunyai restoran, wayang, medan selera, dan tarikan taman tema indoor. Rujuk sini untuk melihat direktori Central i-City.
Dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi – 10.00 malam, pusat beli-belah ini menyediakan fasiliti dan kemudahan yang lengkap. Kadar tempat letak kereta pada hari Isnin – Jumaat ialah RM2 (3 jam pertama) dan RM3 pada hujung minggu dan cuti umum (3 jam pertama).
City of Digital Light
Paling menarik di i-City ialah taman tema yang menempatkan pelbagai elemen tarikan. Paling popular ialah City of Digital Light yang ikonik dengan tarikan berlampu LED pada semua arca, pameran, dan permainan.
Konsep di sini ialah hutan cahaya dengan lebih 1 juta lampu LED. Aktiviti wajib di sini tentulah bergambar berlatarbelakangkan suasana cahaya bergemerlapan. City of Digital Light adalah kawasan yang luas dan terbahagi kepada zon A dan B.
Di Zon A, korang akan menjumpai tarikan seperti Disco Ride, Space Walk, Twisting Boat, Moon Jellies, SuperSwing, 2-Tier Carousel, dan Adventure Train. Di Zon B pula ada Ferries Wheel, Bumper Car, Circus Travel, dan Time Travel.
Cara pembayaran di semua tarikan i-City adalah secara cashless dan menggunakan aplikasi i-City Super App. Token boleh dibeli menerusi aplikasi dengan tukaran RM1 untuk satu i-Point. Rujuk sini untuk mengetahui jumlah token untuk semua permainan di i-City.
Waktu Operasi : Setiap Hari I 5.30 petang – 12.00 tengah malam (Zon B ditutup setiap hari Selasa)
Tiket Masuk : Percuma
Info Lanjut : https://iticket.i-city.my/pages/city-of-digital-lights
WaterWorld
Taman tema air yang menarik untuk meluangkan masa bersama rakan serta keluarga. Walaupun kawasannya tidak besar, namun tarikan yang ada di sini cukup untuk membuatkan korang puas bermain air.
Antara gelongsor air popular di sini ialah Ultimade Tornado iaitu gelongsor corong air pertama di Asia Tenggara. Korang memerlukan 4 orang untuk menaiki tarikan ini dan mempunyai berat badan minimum 35kg dan tidak melebihi 85kg.
Selain itu, terdapat Rainbow Racer Slide, Family Raft Slide, Kiddie’s Twin Slide, Spiral Slide, Wave Pool, Lazy River, Relax Pool, dan kawasan kolam kanak-kanak dengan tema Aladdin.
Menarik di sini, korang tak dikenakan sewa untuk menggunakan pelampung. Kelengkapan serta fasiliti seperti lokar, tempat duduk, dan lifeguard juga ada disediakan. Rujuk sini untuk dapatkan promosi tiket WaterWorld yang berbaloi.
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Selasa I 11.00 pagi – 6.00 petang Sabtu, Ahad & Cuti Umum dibuka pada jam 10.00 pagi
Tiket Masuk : Dewasa RM40 I Kanak-Kanak RM35
Info Lanjut : https://iticket.i-city.my/products/2022-02-waterworld
SnoWalk
SnoWalk ialah taman salji tertutup terbesar di Malaysia. Korang boleh bersantai dalam suasana dingin dan membuat orang salji, berlawan salji, atau sekadar menikmati salji.
Hiasan seperti iglo dan istana ais mini menanti pengunjung untuk menjadikan perjalanan lebih berbaloi. Di SnoWalk, korang boleh merasai musim sejuk kerana suhu di sini ialah negatif lapan darjah Celcius.
Keluasan tempat ini pula adalah sebesar dua padang bola sepak. Salji yang turun pula adalah autentik dan bukannya tiruan, jadi selamat untuk korang bermain atau jika korang tertelan.
Paling best adalah pengalaman menuruni gelongsor ais panjang yang dihasilkan oleh pengukir ais terkemuka. Kalau korang nak rasai dan melihat aurora di sini pula, bolehlah dapatkan pakej SnoWalk Aurora.
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Selasa I 3.30 petang – 11.00 malam Sabtu, Ahad & Cuti umum I 1.00 petang – 11.00 malam
Tiket Masuk : Dewasa RM65 I Kanak-Kanak RM55
Info Lanjut : https://iticket.i-city.my/products/snowalk-aurora
FunWorld
Lokasi ini terletak di pintu pagar C yang menempatkan tarikan-tarikan popular seperti Red Carpet 2, Trick Art Museum, House of Horror, dan kawasan permainan kanak-kanak iaitu Itsy Bitsy.
Red Carpet 2 ialah muzium lilin yang mempunyai koleksi karakter patung lilin daripada pemimpin global, selebriti, watak filem, dan banyak lagi. Korang boleh bergambar sakan dengan karakter kegemaran dan layan dekorasi cantik dan estetik di sini.
Trick Art Museum adalah tarikan ilusi optik yang dipenuhi mural, arca, dan pameran dengan helah yang memperdayakan mata. Terdapat 5 tema ilusi iaitu Masterpieces, Egyptian, Marine Life, Animal Kingdom, dan Modern Classics.
House of Horror adalah tarikan rumah hantu yang dipenuhi karakter seperti mumia, vampire, zombie, raksasa, dan banyak lagi. Bukan sekadar mekanimse dan patung, keberanian korang juga akan dicabar dengan hantu-hantu ‘hidup’ berlatarbelakangkan suasana dan muzik seram.
Itsy Bitsy adalah kawasan permainan khas untuk kanak-kanak. Tarikan yang ada seperti Fun Drive, Fitness Junior, Avatar Flight, Jumping Frogs, Castle Mania, Humming Bees, Jungle Adventure, dan banyak lagi.
Waktu Operasi : Red Carpet 2 I Isnin – Jumaat I 2.00 petang – 10.00 malam Sabtu, Ahad & Cuti Umum I 10.00 pagi – 10.00 malam Trick Art Museum & House of Horror I Setiap Hari kecuali Selasa I 3.00 petang – 11.00 malam Sabtu, Ahad & Cuti Umum I 1.00 petang – 11.00 malam Itsy Bitsy I Setiap Hari I 5.30 petang – 12.00 tengah malam
Harga Tiket : Red Carpet 2 – Dewasa RM100 I Kanak-Kanak RM50 Trick Art Museum – Dewasa & Kanak-Kanak RM15 House of Horror – Dewasa & Kanak-Kanak RM15 Itsy Bitsy – Rujuk Sini untuk harga token permainan
Penginapan di Best Western
Terletak di dalam taman tema i-City, Best Western i-City Shah Alam menawarkan pengalaman penginapan yang unik dan menyenangkan. Sesuai untuk korang yang nak datang bercuti sepuas-puasnya di i-City.
Jenis penginapan di sini ialah Superior, Deluxe, dan I-Suite yang lengkap dengan fasiliti serta keperluan seperti WIFI percuma, pusat kecergasan, restoran dan The View Café, kawasan alfresco di tingkat 5 untuk menikmati minuman dan saksikan matahari terbenam, serta banyak lagi.
Dari sini, akses ke pusat beli-belah hanya 10 minit berjalan kaki atau korang boleh menggunakan perkhidmatan ulang-alik percuma yang dijadualkan di hotel. Paling menarik ialah korang boleh melihat taman tema i-City berubah menjadi bandar lampu digital pada jam 7 malam. Korang juga boleh ke taman tema berjalan kaki sejauh 5 minit sahaja.
Info Lanjut : https://www.bestwestern-icity.my/
i-City sememangnya destinasi terbaik untuk korang meluangkan masa bersama rakan, pasangan, dan seisi keluarga.
Jika korang mencari tempat yang sesuai untuk semua golongan usia, korang boleh terokai aktiviti dan tarikan menarik i-City Shah Alam dalam jelajah Travelist seterusnya.
Baca Juga: