Danga Bay Johor Bahru adalah taman rekreasi yang mempunyai pelbagai tarikan menarik. Kalau korang mencari spot lepak yang santai untuk seisi famili, inilah tempatnya.
Di sini, korang boleh menerokai banyak destinasi unik selain mengamati pemandangan alam serta suasana meriah. Danga Bay adalah lokasi popular dalam kalangan orang lokal untuk beriadah.
Johor Bahru mempunyai banyak tempat jalan-jalan menarik. Ini antara tarikan serta aktiviti yang boleh korang rasai di Danga Bay bersama rakan, famili, mahupun pasangan:
5 Aktiviti Menarik di Danga Bay Johor Bahru, Port Santai Tepi Laut
1. Danga Beach

Terletak di bahagian selatan-tengah Iskandar Malaysia, Danga Bay ialah kawasan kediaman-komersial campuran pertama dan terbesar di Johor Bahru.
Menariknya, Danga Bay terbentang di sepanjang 25km tepi laut yang indah menghadap Selat Johor dan meliputi kawasan seluas kira-kira 450 ekar. Korang boleh berehat santai di pantai yang tenang serta mendamaikan.

Di sini, korang boleh melihat bot serta deretan kapal layar statik. Sesuai sebagai port bergambar, di sini juga korang boleh dapatkan shot matahari terbenam.
Selain pemandangan laut, banyak fasiliti lain seperti arca hidupan laut, tempat bersenam, kawasan rehat, serta banyak lagi. Kawasan letak kereta juga adalah luas dan kemudahan seperti tandas juga ada disediakan.
2. Taman Tema Danga Bay Park

Taman tema khas Danga Park ini adalah destinasi terkenal sebagai tempat bergambar yang cantik. Tarikan paling digemari ialah kuda pusing ataupun merry-go-round/karusel yang terang dengan lampu bercahaya.
Di sini, sesuai untuk korang beriadah bersama rakan, famili, mahupun pasangan dan bergambar sakan. Tarikan di sini dibuka pada jam 3.00 petang sehingga 12.00 tengah malam, tapi pemandangan paling menarik tentulah pada sebelah malam.

Sistem permainan di sini adalah menggunakan token dan tiket. Sesetengah permainan seperti di booth menggunakan token, manakala permainan mesin menggunakan tiket.
Antara permainan popular untuk kanak-kanak ialah menaiki kereta api dan kereta laga ataupun bumper car. Namun, jika korang datang untuk bersantai melihat pemandangan, korang boleh menyewa basikal berkumpulan (2-6 tempat duduk) dengan harga RM 39 selama 45 minit.
3. Beletime Danga Bay Mall

Selain tempat beriadah, Danga Bay adalah kawasan kediaman-komersial campuran dengan pusat beli-belah terbesar di Johor Bahru. Di sini, korang akan merasai pengalaman berkonsepkan luxury dengan pelbagai outlet yang menawarkan promosi terbaik.
Beletime Danga Bay Mall mengaplikasikan tema seni marin dengan rona biru dan maskot hidupan akuatik. Tarikan ini terletak bersebelahan dengan pantai pasir putih buatan manusia sepanjang 400 meter.
Pelbagai jenis kedai dan outlet berjenama seperti brand fesyen yang bergaya, pasar raya premium, cineplax dan kedai F&B yang menawarkan pengalaman menjamu selera tempatan & antarabangsa yang eksklusif.

Antara tarikan baharu yang ada di sini ialah WOMEI iaitu cineplex butik yang mesra keluarga, pertama di Malaysia. Terdapat 6 ruang tayangan filem lengkap dalam 3D, 1162 tempat duduk , dewan skrin gergasi laser, dewan kanak-kanak, dan dewan VIP.
Selain itu, korang boleh membawa anak-anak berhibur di taman hiburan dalaman yang terkenal iaitu LOVEYOYO dengan tema salji dalam ruangan permainan untuk pengalaman hiburan kanak-kanak.
4. Kedai Seafood Danga Bay

Memandangkan Danga Bay terletak di kawasan pantai, pasti makanan seafood menjadi tarikan popular di sini. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati makanan laut di kedai-kedai sepanjang hamparan pantai berpasir di sini.
Restoran di sini rata-rata menyajikan makanan laut seperti kerang, ikan bakar, sotong goreng tepung dan sebagainya. Terdapat jugak kafe di Danga Beach Club yang menyajikan pelbagai jenis hidangan yang sedap.

Salah satu restoran yang lebih besar ialah Seafood Market yang menawarkan pelbagai hidangan makanan laut klasik seperti udang Nestum dan ketam telur masin.
Anggaran harga adalah mengikut kedai, namun secara umumnya, makanan di sini adalah berpatutan. Terdapat banyak pilihan kedai-kedai kecil di sepanjang Danga Bay yang korang boleh pilih mengikut selera dan bajet.
5. Marine Beach Bar

Marine Beach Bar adalah kawasan sosial dan tempat makan berkonsepkan outdoor bar dengan pemandangan laut. Lokasi ini popular untuk dekorasinya yang seakan-akan di Hawaii.
Tarikan utama di sini adalah suasana dan pemandangan yang sesuai untuk momen bergambar. Korang boleh mengamati pasir dan laut sebagai latar belakang dengan tiupan angin pada waktu petang.

Spot ini juga terkenal untuk melihat matahari terbenam dalam kalangan pengunjung muda. Sesuai untuk golongan berpasangan menikmati masa bersama sambil menikmati muzik live yang dimainkan.
Di sini, mereka menyajikan pelbagai hidangan Barat seperti aneka spageti, sate dan makanan ringan seperti kentang goreng, ayam popcorn, sayap ayam, nugget dan banyak lagi. Korang juga boleh menyejukkan diri dengan salah satu pencuci mulut iaitu ais parut atau shaved iced yang mempunyai pelbagai perisa.
Johor Bahru antara lokasi menarik untuk jalan-jalan yang sesuai untuk semua golongan. Tarikan pun ada pelbagai seperti nature, pusat beli-belah, tapak bersejarah, taman, dan banyak lagi.
Kalau korang nak tahu kenapa wajib masukkan Johor Bahru dalam Travelist seterusnya, boleh baca sini.