dark mode light mode Search

Big Red Strawberry Farm, Mini Zoo Percuma Cameron Highlands!

Antara aktiviti wajib apabila melawat Cameron Highlands adalah memetik strawberi. Malah buah strawberi seakan-akan dianggap ikon destinasi ini. Salah satu lokasi menarik untuk menikmati strawberi ialah Big Red Strawberry Farm.

Cuaca nyaman dan kedudukan di tanah tinggi menyediakan keadaan optimum untuk penanaman buah ini. Walau bagaimanapun, strawberi ditanam dan dituai pada musim-musim tertentu sahaja di sini.

Kalau korang nak tahu tarikan di Big Red Strawberry Farm dan waktu terbaik untuk memetik strawberi serta aktiviti best di Cameron Highlands, ikuti senarai di bawah:

Big Red Strawberry Farm, Lokasi One-Stop Centre di Cameron Highlands

Lokasi

big red strawberry farm
Kredit @anih11 via Instagram

Terletak di lereng bukit curam yang menghadap ke Brinchang, destinasi ini boleh diakses melalui jalan raya dari Star Regency Hotel. Korang akan melihat papan tanda besar dari jalan utama. Sebaik sahaja di kaki bukit, pintu masuk terletak betul-betul di sebelah Cactus Valley.

Tempat letak kereta ada disediakan dan kawasannya agak luas. Namun, pada hujung minggu, jumlah kereta berkemungkinan banyak.

Tiada bayaran dikenakan untuk meletakkan kereta, cuma kawasan di sini adalah curam.

Waktu Operasi & Harga Tiket Masuk

big red strawberry farm
Kredit @hayatizaza via Instagram

Dibuka setiap hari pada jam 8.30 pagi sehingga 6.00 petang (waktu operasi bermula jam 9.00 pagi pada Sabtu dan Ahad). Paling menarik ialah korang tak dikenakan bayaran untuk masuk ke sini.

Big Red Strawberry Farm adalah one-stop centre terbaik untuk korang yang mahukan pengalaman memetik strawberi, melihat pemandangan bunga-bungaan, menikmati makanan berasaskan produk lokal yang segar, dan banyak lagi.

Aktiviti & Tarikan

Kredit @ennieghaz via Instagram

Bermula dari pintu masuk utama, pengunjung akan menaiki beberapa anak tangga ke kolam air terjun mini yang mempunyai ikan koi. Korang bolehlah luangkan masa bersama anak-anak mahupun rakan dan keluarga di sini sambil bergambar.

Paling mendapat perhatian ialah tapak semaian bunga dengan pemandangan bunga-bungaan pelbagai jenis dan warna. Di sini, korang boleh membelek serta membeli pokok yang disukai.

Kredit @jaynieloveylove via Instagram

Selain itu, korang juga akan melihat penanaman sayur organik secara hidroponik. Kawasan di sini agak luas dengan bumbung tertutup untuk memberikan kondisi optimum kepada tanaman.

Jangan lepaskan peluang untuk bergambar di sini kerana susun atur serta dekorasinya amat cantik. Warna merah menyerlah berlatarbelakangkan bunga dan sayur yang segar. Setiap sudut di sini memang estetik dan sesuai untuk shot OOTD.

Terdapat juga kawasan zoo haiwan peliharaan mini yang kebanyakannya dipenuhi dengan arnab. Bolehlah anak-anak korang berhibur melihat gelagat arnab sambil menunggu ibu-ibu window shopping di sini.

Kredit @amieehamidah via Instagram

Laluan pejalan kaki kemudiannya menghala ke ladang strawberi yang membolehkan korang memetik atau membeli buah strawberi. Namun, untuk pengetahuan korang, pokok strawberi ditanam secara bermusim.

Jika korang berniat untuk melakukan aktiviti memetik strawberi, datang pada hujung bulan Januari ke Februari. Namun, korang masih boleh dapatkan strawberi yang telah siap dibungkus di sini. Beli dan terus makan strawberi segar yang besar dan memuaskan.

Fasiliti & Tarikan Berdekatan

big red strawberry farm
Kredit @lowjinping via Instagram

Selain memetik buah dan sayur, korang boleh menikmati hidangan berasaskan strawberi dan sayuran-sayuran segar yang dipetik dari ladang.

Big Red Strawberry terkenal dengan makanan seperti wafel, scone, fondue coklat dicicah bersama strawberi, pastries, susu kocak strawberi, churros, dessert, makanan ringan, salad bar, dan banyak lagi.

Kawasan kafe di sini luas dan bersih. Tempat duduk adalah berkonsepkan medan selera yang selesa untuk seisi keluarga. Ada juga permainan arked yang sesuai untuk kanak-kanak.

Selain itu, terdapat juga kedai cenderamata yang menjual pelbagai barangan ikonik Cameron Highlands. Korang juga boleh menjumpai pelbagai produk berasaskan strawberi untuk dibawa balik mahupun dijadikan hadiah.

big red strawberry farm
Kredit @tslpix via Instagram

Di sini, korang akan menjumpai banyak arca dan spot bergambar yang cantik dari pintu masuk, sehinggalah ke bahagian luar. Kawasan di sini agak kurang sesuai untuk pengunjung yang berkerusi roda kerana terdapat laluan bertangga dan trek pejalan kaki agak kecil.

Jika korang dah selesai menerokai Big Red Strawberry Farm, korang juga boleh pergi ke Cactus Valley di bahagian bawah. Korang hanya perlu turun berjalan kaki untuk sampai. Banyak pokok kaktus dan sukulen unik serta menarik boleh dilihat di sini

Info Lanjut : Big Red Strawberry Farm, Cameron Highlands

Cameron Highlands ialah lokasi terbaik untuk korang yang mahukan pengalaman memetik buah serta sayur segar.

Jika korang meminati suasana sejuk dan santai serta mahu pengalaman memetik buah strawberi, wajib ke Big Red Strawberry Farm dalam jelajah Travelist seterusnya.

Baca Juga:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *