Taman tema air antara destinasi menarik dengan tarikan pelbagai yang boleh dirasai serta diterokai bersama rakan dan famili. Kalau korang merancang untuk outing sekeluarga, korang wajib tahu info tarikan di Bangi Wonderland yang seronok!
Bangi Wonderland adalah pilihan terbaik jika korang mencari taman tema air yang mesra bajet dan sesuai untuk keluarga yang besar.
Selain fasiliti serta gelongsor air yang banyak, ini antara tarikan di sini yang korang perlu tahu:
Info Tarikan di Bangi Wonderland, Taman Tema Air Family-Friendly & Mesra Bajet
Lokasi

Taman tema air yang berkeluasan 12 ekar ini terletak di Bangi Avenue, Bandar Baru Bangi. Kalau korang datang dari Kuala Lumpur, perjalan akan memakan masa kira-kira 45 minit.
Bangi Wonderland terletak berdekatan kawasan pusat, jadi korang tak perlu risau mengenai keadaan jalan. Selain itu, banyak kedai yang terletak berhampiran, seperti kedai makan, kedai keperluan, dan banyak lagi.
Waktu Operasi & Harga Tiket

Taman tema ini beroperasi setiap hari kecuali Selasa, namun akan dibuka setiap hari pada cuti sekolah dan cuti umum. Waktu operasi bermula jam 11.00 pagi pada hari Isnin-Jumaat, manakala pada hujung minggu pula bermula pada jam 10.00 pagi dan tutup pada jam 6.00 petang.
Kawasan tempat letak kereta yang luas ada disediakan dan kadar masuk per entry ialah RM6. Tiket masuk ke taman tema air bagi dewasa ialah RM55 manakala kanak-kanak pula ialah RM45.

Kadar tiket bagi golongan OKU pula ialah RM28 untuk dewasa dan RM22 untuk kanak-kanak. Tiket bagi golongan warga tua pula ialah RM28. Kalau korang datang dalam kumpulan yang ramai, bolehlah dapatkan harga promosi iaitu RM160 untuk 4 orang (hari biasa) / RM180 untuk 4 orang (Cuti Sekolah & Cuti Umum).
Bangi Wonderland akan mengumumkan penutupan dari semasa ke semasa untuk kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala. Pastikan korang rujuk pautan rasmi Bangi Wonderland untuk info terkini.
Tarikan di Bangi Wonderland

Di sini, korang boleh luangkan masa dengan bersantai, berenang dan bermain di Bangi Wonderland. Terdapat 14 tarikan termasuk gelongsor air yang mendebarkan.
Sama ada korang ingin merasai adrenaline rush atau sekadar mahukan tempat untuk bersantai bersama keluarga, Bangi Wonderland adalah destinasi yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Bangi Wonderland mempunyai pelbagai jenis gelongsor air yang menyeronokkan seperti Anaconda Trail, Spiralax, beberapa Body Slides dan juga gelongsor air yang mendebarkan jantung seperti Magic Funnel, The Fall, Green Pearl, Wonder Loop, dan Boomeriang.

Istimewanya di sini ialah tarikan Water Cannon Ride, iaitu pancuran air yang besar dari meriam yang akan menolak korang ke udara, dan jatuh ke dalam kolam dengan percikan besar!
Manakala bagi kanak-kanak pastinya akan menikmati di Kids Adventure yang lengkap dengan pelbagai permainan dan gelongsor. Paling seronok dan nostalgik ialah baldi air besar yang jatuh dengan percikan air deras.

Selain itu, jangan ketinggalan untuk meluncur turun dari gelongsor air terpanjang berwarna-warni iaitu Insane Racer yang family-friendly. Bolehlah korang berseronok dengan anak-anak sambil menikmati momen bersama.
Selepas penat bermain, korang boleh tenangkan diri di Meander River yang mengelilingi Zon Senai Jungle. Ada juga kolam Pirates Spa yang tenang dan Pirates Bay untuk menikmati gelombang air beramai-ramai.

Pro Tip! – Pastikan korang tahu jadual operasi tarikan di sini kerana beberapa tarikan seperti gelongsor dan gelombang air di Pirates Bay beroperasi secara berjadual. Rujuk sini untuk info terkini.
Selain itu, gelongsor di sini mempunyai had berat badan serta hanya boleh dinaik secara berkumpulan untuk beberapa gelongsor. Memandangkan Bangi Wonderland adalah pusat riadah keluarga, maka tarikan di sini fokus kepada aktiviti beramai-ramai.
Fasiliti

Dari segi fasiliti dan kelengkapan adalah lengkap serta bersih. Bangi Wonderland menyediakan fasiliti asas seperti tandas, tempat menukar pakaian, surau, baby room, lokar elektronik, tands OKU, lif, dan banyak lagi.
Fasiliti lain ialah kawasan umum berbumbung, sewaan pelampung dengan kadar RM20 dengan deposit RM10, sewaan cabana yang selesa dengan kadar RM120 dengan deposit RM50.
Bagi lokar elektronik pula, sewaan adalah RM15 (kecil), RM25 (medium), RM35 (large), dan RM45 (extra large). Setiap jenis lokar mempunyai deposit sebanyak RM10.
Penginapan

Jika korang merancang untuk meluangkan masa di Bangi Wonderland sepanjang hari dan mahu memanfaatkan setiap saat, korang bolehlah menetap di Hotel Le’Venue.
Korang boleh dapatkan harga promosi penginapan termasuk tiket masuk untuk ke Bangi Wonderland. Jimat kalau korang daripada golongan berkeluarga. Nak ke taman tema air pun boleh jalan kaki sahaja.
Promosi penginapan adalah terhad, jadi korang boleh lihat di laman Instagram rasmi Bangi Wonderland, dan membuat tempahan di laman Le’Venue Hotel.
Bangi Wonderland menawarkan hiburan terbaik untuk seisi famili yang mesra keluarga dan mesra bajet. Jom rasai tarikan di Bangi Wonderland yang menjanjikan pengembaraan Travelist menyeronokkan.
Info Lanjut : https://www.bangiwonderland.com.my/
Pautan Instagram : https://www.instagram.com/officialbangiwonderland/
Baca Juga:
Bangi Wonderland ni klu weekend selalu penuh tp klu time tengah kosong mmg best weyy, semua dapat main